Thursday, April 15, 2010

13 TIPS MENDISIPLINKAN ANAK

Tips mendisiplinkan anak.

Beberapa prinsip asas yang penting dan mesti diingat sebelum dan semasa kita mendisiplinkan anak-anak bagi memastikan anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah. Tips yang perlu diikuti adalah;

1. Ibu-bapa haruslah sepakat.
Hendaklah ada peraturan yang disetujui oleh kedua ibu bapa mengenai undang-undang disiplin di rumah dan apakah padahnya jika peraturan-peraturan tadi dilanggar. Ibu bapa haruslah berbincang tentang peraturan dan tindak balasnya sebelum kenakalan atau sesuatu yang tidak diingini terjadi.

2. Disiplin bukanlah mendera.
Rasulullah saw bersabda, "Dia yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani." (Riwayat Bukhari)

Ramai ibu bapa yang menyangka bahawa mendisiplinkan anak adalah dengan memarahi, memukul dan mendera mereka. Ini adalah anggapan yang salah. Disiplin mestilah dilandaskan atas perhubungan kekeluargaan yang baik, pujian tingkah laku yang baik dan tunjuk ajar untuk si anak bagaimana untuk menguasai peribadi dirinya sendiri. Memarahi anak kerana kesilapannya adalah suatu perkara yang negatif dan adalah kerana akibat tabiat atau kelakuan tidak sopan yang dilakukan anak tadi atau sesuatu yang mesti dilakukan tetapi tidak dilakukan anak tadi. Memarah anak haruslah menjadi sebahagian kecil dalam proses disiplin. Cara disiplin yang berkesan mesti dilakukan pada setiap masa dan bukan sahaja apabila anak tadi telah melakukan kesilapan. Anak-anak sering ingin merubah dirinya apabila mereka sendiri merasakan dorongan untuk menjadi baik dan dihormati, bukan apabila merasa terasa terhina dan dimalukan. Apabila anak tadi menghormati dirinya dan menghormati perhubungan antara dirinya dan ibu bapanya, barulah dia akan faham dan sedar betapa penting akhlak dalam kehidupan seharian.

3. Melentur buluh biar dari rebong.
Proses mendisiplinkan anak haruslah bermula sebaik sahaja anak tadi dilahirkan. Apabila anda memberi anak anda perhatian setiap kali dia menangis, anda sedang mengajar anak anda bahawa anda sentiasa sedia untuk menolong dan memberi kasih sayang kepadanya dan dia boleh mengharapkan kasih sayang tadi dari anda. Dengan perasaan kasih sayang dan hormat inilah, anda harus bina kepercayaan dan kesopanan yang anda ingini.

Rasulullah saw bersabda " Ajarilah anak-anak kecilmu kalimah Laa ilaaha illallah sewaktu ia mulai berbicara dan tuntunlah mereka untuk membaca Laa ilaaha illallah sewaktu menghadapi kematian."

4. Ibu bapa tidak harus bertelingkah di depan anak.
Pertelingkahan yang sering dilakukan didepan anak-anak anda akan membingungkan anak-anak anda dan ini akan mengurangkan keberkesanan cara-cara anda mendisiplinkan anak-anak tadi. Anak-anak juga dapat mempergunakan pertelingkahan antara ibu bapa tadi sebagai alasan untuk mereka mencapai hasrat hati mereka untuk melakukan dan meneruskan kenakalan mereka.

5. Ibu bapa harus dapat menguasai dan mengendali anak-anak mereka
Ada ibu bapa yang takut dengan anak-anak mereka. Ketakutan yang seperti ini dapat memberi kesempatan untuk anak-anak tadi untuk mempergunakan ibu bapa mereka.

6. Undang-undang untuk anak-anak mestilah jelas.
Undang-undang yang anda ingin anak-anak anda patuhi haruslah jelas. Ini akan membantu anak-anak tadi memahamkan dengan mudah apa yang dikehendaki darinya. Keseringan dalam menguat-kuasakan undang-undang tadi adalah mustahak, kerana jika tidak, kelakuan dan pemikiran anak-anak tadi dapat menjadi tidak tentu. Walaubagaimana pun, undang-undang mestilah selalu di semak kembali dan ditukar bila-bila perlu untuk disesuaikan dengan keperluan pembesaran anak anda.

7. Masa yang bersesuaian.
Teguran dan nasihat mestilah diberi serta-merta supaya ia lebih berkesan. Teguran dan nasihat haruslah dilakukan dengan tegas dan berhikmah. Terutama sekali apabila berada di khalayak ramai. Memalukan anak didepan orang ramai, kawan-kawan dan saudara-maranya, dapat memberi kesan yang negatif terhadap anak tadi. Lebih mustahak lagi, teguran dan nasihat tadi jangan dilakukan dengan marah.

8. Betulkan kenakalannya, bukan dirinya.
Hindari diri anda dari kata-kata yang menghina seperti: "Bodohnya budak ini." Betulkan kesilapan anak tanpa membuat dirinya rasa terhina dan tidak berguna.

9. Jangan berleter.
Hindari diri anda dari mengingatkan anak anda akan kesilapan-kesilapannya yang sudah lepas. Ini boleh membuatnya merasakan bahawa dia memang tidak berguna dan bodoh.

10. Berbaik semula.
Selepas anda menegur akan kesilapannya, terangkan kepadanya bahawa anda masih menyayanginya walaupun dia telah membuat kesilapanya tadi.

11. Tegur dengan tenang.
Apabila anak anda melakukan sesuatu yang salah, tegurinya dengan kata-kata yang tenang. Beritahu anak anda bagaimana adab yang betul yang anda ingini. Terangkan mengapa perbuatannya salah dan apakah keburukan dan bahaya perbuatan salahnya tadi.

"Ajaklah kepada jalan Tuhanmu dengan menggunakan kebijaksanaan dan nasihat yang baik." [AnNahl :125]

12. Hadiah.Berikan anak anda pujian atau hadiah jika dia telah dapat berubah. Ini akan menggalakkan anak anda untuk berbuat baik. Tetapi, jangan sampai anak anda menganggap bahawa dia akan menerima hadiah setiap kali dia berbuat baik.

Dari kitab Tarikh Imam Bukhari: Rasulullah saw bersabda " Tiada pemberian ibubapa terhadap anaknya yang lebih utama daripada pendidikan akhlak yang baik."

13. Denda.
Anda juga boleh mendenda anak anda dengan mengurangkan masa bermainnya, atau tidak membenarnya menonton TV, atau dengan memberinya lebih kerja rumah.

Sebagai seorang ibu atau bapa, anda perlu sedar bahawa akan terjadi masa dimana anak anda akan berperangai nakal dan anda akan memarahinya. Tetapi, apa sahaja bentuk disiplin yang anda lakukan haruslah membuat anak anda sedar akan kesalahannya dan sedar bahawa anda masih menyayanginya walaupun anda sedang mendisiplinnya.

Yang paling penting, sebagai ibu bapa yang ingin anak-anak yang berakhlak mulia, ingatlah bahawa segala sesuatu usaha tidak bermakna jika tidak dilakukan kerana Allah. Sentiasalah berdoa kepadaNya agar diberi zuriat-zuriat yang soleh dan solehah, yang menyenangkan dan menyejuk mata ibu bapa, agar kehidupan diberkati di dunia dan akhirat.

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu-batu." [At-Tahrim:6]

sumber: http://www.perkahwinan.com

61 TIPS PELAJAR CEMERLANG - Dato'Dr.Hj.Mohd.Fadzilah Kamsah

Tips Pelajar Cemerlang.

Tip 1
Tuhan mencipta kita dengan penuh kesempurnaan. Bertindaklah dengan cemerlang.
Tip 2
Pelajar yang tidak berdisiplin semasa belajar besar kemungkinan tidak berdisplin sepanjang hayat.
Tip 3
Semua orang ingin berjaya tetapi cuma segelintir yang berjaya kerana mereka berjaya mengawal nafu dan emosi.
Tip 4
Kita mudah lupa apa yang kita dengar. Kita sekadar tahu apa yang kita lihat. Kita akan faham apa yang kita amalkan
atau praktikkan.
Tip 5
Apabila kita belajar dengan niat untuk berkongsi ilmu ataupun mengajar orang lain, kita akan dapat kefahaman dan daya
ingatan yang luar biasa.
Tip 6
Setiap hari carilah alasan untuk berubah secara positif.
Tip 7
Di dalam dunia ini, cuma kita berupaya mengubah diri kita.
Tip 8
Apabila kita berubah, semua orang di sekeliling kita akan berubah seiringan dengan perubahan kita.
Tip 9
Setiap masalah berpunca daripada diri kita sendiri. Kita yang perlu menyelesaikannya.
Tip 10
Segala kehebatan sudah ada dalam diri kita. Sekadar menanti untuk diserlahkan.
Tip 11
Orang biasa yang melakukan tindakan luar biasa menghasilkan prestasi luar biasa.
Tip 12
Jadikan setiap hari adalah hari terbaik dan sepanjang kehidupan anda akan cemerlang.
Tip 13
Kejayaan = Hidayah + Ilmu + Amal + Ikhlas + Istiqamah + Berterusan berubah secara positif.
Tip 14
Kejayaan adalah melakukan rutin yang positif secara berterusan.
Tip 15
Kegagalan adalah melakukan satu ataupun dua kesalahan berulang kali.
Tip 16
Orang yang penyayang akan dikelilingi oleh ramai orang yang sayang kepadanya.
Tip 17
Orang yang pembenci akan dikelilingi oleh ramai orang yang benci kepadanya.
Tip 18
Pelajar yang serasi rohnya dengan roh gurunya akan mendapat keberkatan ilmu.
Tip 19
Sayangi dan doakan semua guru untuk serasikan roh dengan guru dan mendapat keberkatan ilmu.
Tip 20
Sayangi, bantu dan doakan semua kawan-kawan anda bagi mendapat keberkatan dalam pembelajaran.
Tip 21
Maafkan semua orang sebelum tidur setiap malam bagi mencuci hati dan mencerdaskan minda.
Tip 22
Orang yang hatinya bersih makbul doanya, cerdas otaknya, sihat badannya, cun wajahnya dan ramai kawannya.
Tip 23
Mulai hari ini perbaiki setiap tindakan dan amalan kta untuk menjadi pelajar terbilang.
Tip 24
Jadikan diri anda sebagai ‘besi berani’ yang sentiasa menarik perkara positif kepada diri anda.
Tip 25
Sedarilah hakikat bahawa setiap perubahan yang anda lakukan akan mengubah dunia di sekitar anda.
Tip 26
Anda tidak boleh berubah selagi anda tidak menerima hakikat yang anda perlu berubah. Tip 27
Langkah pertama untuk berubah ke arah yang lebih cemerlang adalah dengan menerima hakikat yang anda sebenarnya
bermasalah.
Tip 28
Orang cemerlang menunjukkan hasil. Orang gagal memberi alasan.
Tip 29
Kenali diri anda yang sebenar sebelum anda dapat menyerlahkan kecemerlangan diri anda.
Tip 30
Tuhan bertindak seperti mana yang difikirkan oleh hambanya.
Tip 31
Perbaiki hubungan kita dengan Tuhan dan Tuhan
akan memperbaiki hubungan kita sesama manusia.
Tip 32
Tuhan mencipta kita bagi melengkapkan dunia ini. Justeru, jadilah insan yang memberi manfaat kepada makhluk di atas
muka bumi.
Tip 33
Semua orang sama ada baik ataupun tidak, adalah aset kepada kita dan membawa kebaikan secara langsung ataupun
secara tidak langsung.
Tip 34
Pelajar terbilang sentiasa taat perintah Tuhan. Dirikan sembahyang lima waktu dengan istiqamah.
Tip 35
Pelajar yang ingkar perintah Tuhan tidak mungkin menjadi pelajar yang cemerlang.
Tip 36
Pelajar yang cemerlang bersedia membantu kawan dan bersedia dibantu.
Tip 37
Pelajar yang cemerlang dapat mengawal emosi dan sentiasa ceria dan bersemangat.
Tip 38
Pelajar yang cemerlang mempunyai matlamat yang jelas, hebat dan dapat membakar semangatnya.
Tip 39
Pelajar yang cemerlang mahir dengan strategi dan terknik pembelajaran yang berkesan dan sentiasa tekun belajar.
Tip 40
Pelajar yang cemerlang mempunyai imej diri positif dan yakin diri.
Tip 41
Pelajar yang cemerlang tekun menjalani riadah bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Tip 42
Pemakanan yang seimbang penting bagi menjana pemikiran yang cerdas dan memori yang tajam.
Tip 43
Pelajar dapat mengingat sehingga 90 peratus bahan yang dipelajari apabila diaplikasikan dengan menjawab soalan
yang berkaitan dengan bahan yang dibaca.
Tip 44
Cari tempat tenang untuk belajar. Elakkan mendengar muzik semasa belajar.
Tip 45
Belajar sambil mendengar muzik mengurangkan tumpuan dan menghakis keberkatan ilmu. Tip 46
Senyum sambil belajar membantu proses pembelajaran.
Tip 47
Kaedah belajar paling berkesan adalah dengan melakar peta minda. Tetapi cuma 20 peratus pelajar yang belajar
menggunakan peta minda.
Tip 48
Bangun pagi dengan tersenyum dan berdoa supaya sepanjang hari menjadi ceria dan bersemangat.
Tip 49
Orang yang gembira tidak semestinya tersenyum. Tetapi orang tersenyum pasti gembira. Tip 50
Apabila anda sudah biasa membuat silap, apa yang betul terasa silap dan yang silap terasa betul.
Tip 51
Semua orang mempunyai sumber yang diperlukan untuk menjadi orang cemerlang.
Tip 52
Peribadi dan prestasi kita sering dipengaruhi oleh kawan-kawan. Justeru, carilah kawan yang positif dan cemerlang.
Tip 53
Setiap kegiatan yang kita lakukan masih belum sempurna dan masih boleh diperbaiki. Tip 54
Orang yang berfikiran negatif mempunyai sepuluh kali ganda peluang mendapat sakit berbanding orang yang berfikiran
positif.
Tip 55
Makanan kepada penyakit adalah pemikiran yang kotor dan negatif.
Tip 56
Kunci pembangunan diri adalah bersedia melakukan perubahan positif walaupun kecil, hari ini juga.
Tip 57
Dengan mendidik orang lain, kita akan menyentuh kehidupannya sepanjang hayat.
Tip 58
Semua penyakit ada ubatnya. Ubatnya ada di dalam diri kita.
Tip 59
Buatlah kebaikan atau perubahan positif setiap hari seolah-olah hari ini mungkin hari kita yang terakhir di dunia ini.
Tip 60
Orang cemerlang suka melakukan perkara yang orang gagal tidak suka lakukan.
Tip 61
Apabila anda berani mengaku bersalah, itu tanda anda semakin bijaksana.

* Petikan dari buku : Tips Pelajar Cemerlang
Oleh Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah

PERKATAAN LAMBANG KEPERIBADIAN

Setiap perkataan dibicarakan lambang keperibadian

ALLAH SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain, maka manusialah yang menjadi hala suruhan bersopan santun sewaktu bermuamalah dengan sesiapa saja, termasuk kepada binatang dan alam.

Keistimewaannya paling utama ialah Allah menciptakan akal supaya manusia berfikir, maka fikirlah setiap satu matlamat dan akibat setiap perbuatan kita dan Dia juga hadiahkan buat sementara lidah untuk berbicara, maka sampaikanlah apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia jika tidak menyakitkan hati sesiapa

Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia meskipun hanya menggunakan dua tangan sebagai isyarat. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4 bermaksud: “Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang mengajarkan Al-Quran, Dialah yang menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.”

Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa merungkaikan kalimah agar setiap bicara mendapat keredaan Allah.

Berbicara sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik mempunyai tatacara dan adab tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya.
Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah adalah ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

Perkara yang paling utama apabila kita berbicara ialah jangan sekali-kali kita berbicara sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri kita kerana ia adalah bicara yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan kita daripada dosa.
Malah mungkin kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan mengata sesuatu yang tidak pasti tanpa bukti yang menyokong. Abu Darda menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, ada juga bicara yang disampaikan kepada orang lain mengenai sesuatu sedangkan masanya belum tiba untuk menyentuh hal berkaitan. Ini perlu dielakkan kerana jika membabitkan bahan bukti mahkamah, ia boleh mengganggu perbicaraan sekiranya perbicaraan belum selesai atau menimbulkan hal yang memalukan.

Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan pula berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana, kerana orang yang sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dan mengaplikasikan pengetahuan dalam berbicara. Jangan pula berdebat dengan orang yang berperangai buruk kerana mereka akan menyakitkan hati saja.

Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang yang bijak dan santun, manakala kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu dan beradab sopan. Tutur kata seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya.

Oleh itu, setiap insan harus berbicara menurut pertimbangan akal waras. Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama ada dalam percakapan, penulisan atau perdebatan.

Bagaimanapun, ia mestilah tidak menyakitkan hati kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Oleh itu, bagi mengelak berlakunya sebarang perselisihan dan suasana tidak menyenangkan, kita perlu berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Banyak ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW memberi peringatan dan panduan mengenai adab dalam percakapan.

Justeru, jangan kita biarkan lidah yang diam di dalam mulut kita menjadi sebab untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni syurga-Nya yang mengalir sungai yang luhur dan tanah subur. Biar kita diuji dengan tohmahan jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah diri sendiri dan orang lain hanya kerana cintakan dunia dan isinya yang fana.

Sumber:
Nik Suhaila Nik Saleh
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia
Berita Harian 2010/04/15

Monday, April 5, 2010

TIPS UNTUK MENGAWAL EMOSI


TIPS UNTUK MENGAWAL EMOSI
Emosi adalah baik sekiranya ia dikawal dan diarahkan untuk kebaikan. Sekiranya ia gagal dikawal maka tingkahlaku negatif akan berlaku dan boleh mencetuskan banyak konflik.

1. Sentiasa memberi kemaafan kepada orang lain. Sedangkan Nabi memaafkan umatnya apalah kita ini.

2. Banyakkan berdoa kepada Allah. Doa adalah senjata bagi orang mukmin,

3. Selalu berfikiran positif dan logik.Tiada sesuatu yang Allah jadikan sia-sia pasti ada kebaikan yang tersirat.

4. Selalu memberi senyuman walaupun menerima respon kurang menyenangkan dari orang lain

5. Sentiasa mencari ketenangan fikiran. Elakkan perkara-perkara yang boleh mengganggu fikiran jika tidak mampu menghadapinya.

6. Selalu melakukan senaman dan gerakan fizikal yang ringan untuk kecerdasan.

7. Elakkan diri dari kehidupan tertekan contohnya berhutang, memikul tugas yang luar dari kemampuan dan lain-lain.

8. Banyakkan membaca petikan motivasi, hadis, kata-kata hikmat dan peribahasa

9. Bercakap dengan menggunakan nada yang rendah dan penuh hikmah

10.Sediakan waktu rehat yang cukup dan ada peluang untuk rehlah

11.Berdamping dengan orang yang bermotivasi dan baik pekertinya

12.AlQuran adalah ubat penenang emosi. Bacalah setiap hari walaupun sedikit.

Saturday, April 3, 2010

TIPS-TIPS UNTUK DIHORMATI DITEMPAT KERJA

TIPS-TIPS UNTUK DIHORMATI DITEMPAT KERJA

1. Jika anda seorang ketua, cuba berbaik dengan semua pekerja termasuk golongan bawahan. Mereka boleh menjadi sahabat dan sekaligus penyokong yang boleh meningkatkan karier anda.

2. Setia kepada ketua dan sentiasa mmpertahankannya tidak kira sama ada di dalam mahupun di luar pejabat.

3. Elakkan mengata seseorang melainkan dia
telah melakukan jenayah berat seperti mengedar dadah, jenayah, mencuri dan sebagainya.

4. Jangan mengkritik seseorang di depan atau di belakangnya melainkan jika anda diarahkan menjadi penyelianya. Siapa tahu dia mungkin jadi ketua anda suatu hari nanti.

5. Menerima kedatangan pekerja baru dengan baik. Tunjukkan keadaan pejabat dan jadikan dia sebahagian daripada kumpulan anda. Biarkanlah dia merasai sebahagian daripada politik di pejabat terutama undang-undang yang biasa digunakan. Tentu anda juga minta diperlakukan sedemikian jika menjadi orang baru.

6. Selalu menepati janji. Kekalkan reputasi ini kerana anda boleh menjadi orang yang dipercayai.

7. Pastikan anda membelanja rakan yang pernah belanja untuk makan bersama. Elakkan daripada dikenali sebagai orang yang tidak tahu membalas budi.

8. Elakkan daripada menentang orang yang tidak anda sukai secara terbuka ketika dia sedang mengemukakan pendapatnya di pejabat. Cara demikian tidak akan membantu meningkatkan karier anda. Suarakan rasa tidak puas hati itu secara individu dengannya

Sumber: http://www.harnisofia.myportal.my

Thursday, April 1, 2010

PIBG PERLU RUJUK IBU BAPA

PIBU perlu rujuk ibu bapa

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu mengadakan konsultasi dengan ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan dalam mesyuarat bagi mengelakkan perkara berbangkit, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Yang penting bagaimana kepemimpinan PIBG di sekolah menjadi lebih inklusif, yang lain-lain boleh dijemput berbincang mungkin secara informal supaya sebelum mesyuarat dan buat keputusan, ia sudah dapat gambaran bahawa ibu bapa setuju dengan apa yang hendak diputuskan.

“Kalau ada perbincangan sebegitu kuranglah masalah timbul seperti yuran dan bayaran yang dikenakan terhadap mereka,” katanya pada sidang media selepas menutup Konvensyen PIBG Kebangsaan 2010 di Institut Aminuddin Baki di sini, semalam.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberikan contoh bahawa PIBG boleh menghantar surat kepada ibu bapa untuk mendapatkan pandangan seperti berkaitan sumbangan dan penganjuran aktiviti.


Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata PIBG berperanan dalam memberikan sumbangan besar dalam sistem pendidikan negara kerana pencapaian dan kejayaan anak-anak di sekolah turut bergantung kepada ibu bapa.


Katanya, PIBG ditubuhkan atas peruntukan undang-undang dan bukannya sekadar satu inisiatif atau kehendak ibu bapa
“Soal pendidikan penting dan perlu diberikan perhatian utama bukan sahaja oleh pimpinan negara tetapi ibu bapa, pencapaian anak-anak kita di sekolah ada hubung kait dengan peranan yang disumbangkan oleh PIBG di seluruh negara,” katanya.


Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sendiri memberi penekanan dan perhatian yang penting dalam soal pendidikan dan pelajaran serta pembangunan modal insan. - Bernama

2010/03/29 HARIAN METRO