Meningkatkan daya ingatan dan mengekalkan momentam memori sangat penting bagi setiap individu bagi perkembangan minda dan potensi diri. Beberapa tips dicadangkan untuk mengekalkan daya ingatan.
1. Tidur Yang Cukup
Keletihan akan mengganggu maklumat yang telah disimpan oleh otak dan boleh menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yngg baru. Amalkan tidur yang cukup di malam hari iaitu antara 5-6 jam kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi dengan sempurna.
2. Kawal Tekanan
Tekanan akan membuat jiwa kita tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan terganggu. Kesannya kita tidak peka dengan keadaan persekitaran,tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan terganggu. Kawal tekanan dengan baik secara bermeditasi, membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi,rehlah dan sebagainya.
3. Bersenam
Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak. Daya ingatan kita akan menjadi lebih baik apabila mengamalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki dan menggerakkan beberapa bahagian anggota badan.
4. Elakkan Kemurungan
Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup kita tidak ceria, tidak segar dan diselubungi rasa kecewa.Akibatnya boleh menjejaskan daya ingatan dan membuat kita tidak peka pada persekitaran. Hindari kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri dan membanyakkan amalan kerohanian untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
5. Kawal Pengambilan Ubat secara professional
Daya ingat mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Pastikan ubat yang digunakan telah melalui proses nasihat dan arahan doktor.
6. Mencuba Belajar Sesuatu yang Baru
Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya Kemahiran pelbagai bahasa, menjahit,inovasi dan kreativiti atau menghadiri ceramah agama dan motivasi.
7. Meneroka Permainan
Meneroka permainan yang sesuai dengan kemampuan diri dan mampu merangsang minda. Contohnya, catur, scrabble (Sahibba) dan Monopoli.Gunakan teknologi komputer dan multimedia untuk membantu walaubagaimanapun AWAS jangan sampai keterlaluan hingga menjadi ketagih"games"..
8. Banyak Membaca
Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian kerana ia dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajamkan daya ingatan. Catat dan ingat fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan walaupun sedikit.
9. Katakan Berulang Kali dan Acap Kali
Untuk meningkatkan daya ingatan tentang sesuatu maklumat, data atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga kita benar-benar ingat akan maklumat tersebut.Sekali sekala keluarkan suara kita sekuat mungkin bebaskan kekangan emosi.
10. Fokus dan Beri Tumpuan
Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya anda sering fokus dan memberi tumpuan dalam sesuatu perkara. Kita juga dapat belajar memberi fokus secara menumpukan sepenuh fikiran kita pada sesuatu perkara, mencatatkan dan mempamirkan apa yang kita fikirkan.
11. Banyakkan Latihan Bermain Dengan Angka
Asahkan minda kita dengan bermain dengan angka seperti mengingati nombor telefon, tarikh lahir dan nombor pendaftaran keereta rakan-rakan. Kita juga boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu yang boleh meningkatkan daya ingatan.
12 Latih Diri Membaca Al-Quran
Sekiranya anda seorang Muslim, amalkan membaca Al-Quran walaupun setengah muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat memberi ketenangan dan menerangi jiwa. Al Quran adalah penawar (syifa') dan mampu menajamkan daya ingatan pembacanya.
No comments:
Post a Comment