Wednesday, January 27, 2010

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI



PUTRAJAYA, 25 Jan — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) hari ini mengumumkan 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), yang terdiri daripada 14 sekolah menengah dan enam sekolah rendah di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata daripada 14 sekolah menengah, 10 adalah sekolah berasrama penuh manakala bakinya sekolah menengah harian.

“Sekolah ini dipilih dari kalangan sekolah-sekolah yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan bidang kebitaraan masing-masing.

“SBT akan dibimbing dan dipantau secara khusus untuk menjamin berlaku lonjakan prestasi sekolah secara berterusan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Sepuluh sekolah berasrama penuh ialah Sekolah Tun Fatimah (Johor Baharu), Sekolah Dato' Abdul Razak (Seremban), Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Seri Puteri (Cyberjaya), Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (Jitra).

Kolej Tunku Kurshiah (Seremban), Kolej Islam Sultan Alam Shah (Klang), Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra (Perlis), Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya) dan SMS Muzaffar Syah (Melaka). Manakala empat sekolah menengah harian ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman (Petaling Jaya), SMK Aminuddin Baki (Kuala Lumpur), SMK Sultanah Asma (Alor Setar) dan SMK (P) St. George (Pulau Pinang). Enam sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara (KL), SK Taman Tun Dr Ismail 1 (KL), SK Bukit Damansara (KL), SK Zainab (2) (Kota Baharu), SK Convent Kota (Taiping), SK Bandar Baru Uda 2 (Johor Baharu).

Muhyiddin berkata SBT bukanlah sekolah elit yang akan memberi manfaat kepada hanya sebilangan kecil pelajar, sebaliknya setiap sekolah di negara ini mempunyai peluang yang sama dan boleh bersaing di “padang yang sama rata” untuk diiktiraf sebagai SBT.

“Mana-mana sekolah yang mencapai sasaran kecemerlangan dan memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan akan diiktiraf sebagai SBT dan mendapat kemudahan serta ganjaran yang sama,” katanya.

Muhyiddin berkata kementerian mensasarkan 30 SBT pada tahun depan dan jumlah itu akan meningkat kepada 50 pada tahun 2012.

Beliau berkata rasional pengiktirafan itu dibuat bagi mengangkat kualiti sekolah-sekolah yang terbaik ke taraf dunia, menghasilkan pelajar yang cemerlang dan merapatkan jurang antara sekolah-sekolah di dalam sistem.

SBT akan diberi autonomi tambahan untuk mewujudkan inovasi dalam pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid, katanya.

Beliau berkata dari segi kurikulum, ia fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi mata pelajaran wajib dan elektif, mematuhi peperiksaan awam dan menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa.

Selain itu, katanya sekolah berkenaan diberi kelonggaran dalam menetapkan waktu pengajaran minima mata pelajaran, memanjangkan waktu persekolahan dan membenarkan murid menamatkan tempoh persekolahan setahun lebih awal iaitu seperti kelas lompat yang telah diperkenalkan sebelum ini.

Muhyiddin berkata dari segi pemilikan bajet, kewangan disalur melalui geran secara sekaligus pada awal tahun persekolahan, fleksibiliti penuh untuk pengagihan kewangan mengikut keperluan dan pengecualian daripada perolehan secara berpusat.

“Setiap sekolah mempunyai bajet mereka sendiri, tetapi dengan status ini, mereka diberi peruntukan tambahan dan mereka boleh menggunakannya untuk apa sahaja yang mereka rasa perlu,” katanya.

Beliau berkata pengurusan staf adalah berdasarkan prestasi iaitu pengambilan staf tidak berdasarkan kekananan tetapi prestasi pencapaian, kelonggaran dalam menyediakan lebih bayaran (bayaran lebih masa) dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.

“Selain itu, kelonggaran untuk memindahkan staf sekiranya prestasi kurang memuaskan dan pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik,” katanya.

Beliau berkata laporan tahunan berdasarkan petunjuk keberhasilan setiap sekolah dan pemeriksaan sekolah berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang telah diubahsuai.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata SBT perlu memenuhi enam kriteria yang ditetapkan iaitu pencapaian akdemik yang cemerlang, melahirkan personaliti unggul, merangkul anugerah Kebangsaan dan Antarabangsa, mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.

“Mempunyai permuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah-sekolah tempatan dan antarabangsa serta menjadi penanda aras kepada sekolah-sekolah di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata antara peranan yang perlu dimainkan oleh SBT sebagai sumbangan kepada sekolah lain ialah guru-guru SBT menjadi mentor kepada guru di sekolah lain, melalui program “immersion” membabitkan pengetua, guru besar dan guru.

Bagi pembangunan berterusan sebagai status SBT, sekolah terbabit antara lain perlu meningkatkan pelan strategik, pengurusan, program akademik dan kokurikulum sokongan serta menjadi penanda aras dan contoh bagi sekolah lain dari dalam dan luar negara.Peak job hunting season is on! Act now! Sign up @ JobStreet.


Muhyiddin berkata sekolah dari pedalaman dan luar bandar juga boleh dipilih sebagai SBT jika ia memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Saya tahu tidak mungkin semua 10,000 sekolah (di seluruh negara) akan naik ke tahap itu, tetapi tidak kira sekolah bandar, luar bandar dan pedalaman jika mereka boleh memenuhi kriteria yang ditetapkan akan direkod sebagai SBT.

“Tetapi jika sekolah luar bandar dan pedalaman ada kekangan kerana kemudahan belum setara dan setanding, jangka panjangnya kita akan terus perbaiki,” katanya.
Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment