Tuesday, June 22, 2010

WAJARKAH UPSR DIMANSUHKAN



UPSR yang disifatkan terlalu mementingkan keputusan akademik.Pemansuhan peperiksaan berkenaan dilihat dapat memberi kesan positif dalam membentuk jati diri atau sahsiah murid-murid.Peperiksaan UPSR dilihat amat membebankan apabila semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan murid terlalu fokus sehingga selalu mengabaikan aspek pembangunan sahsiah atau sosial murid.

Pendidikan di sekolah rendah sepatutnya lebih menumpukan aspek membentuk jati diri dan sosial murid agar mereka menjadi individu yang lebih kebal daripada gejala tidak sihat.Senario kini melihat seolah-olah UPSR terlalu penting sehingga murid terpaksa belajar terlalu lama, begitu juga dengan guru dan sekolah yang bimbang jika prestasi sekolah mereka menurun. Di negara maju tidak ada peperiksaan peringkat sekolah rendah namun pelajarnya tetap berjaya dalam pelajaran.Guru dan pentadbir sekolah akan menerima tamparan hebat apabila keputusan UPSR murid tidak memberangsangkan apalagi sekiranya keputusan tersebut merosot berbanding tahun sebelumnya.

Jika sebelum ini, UPSR menjadi kayu pengukur kepada pemilihan murid ke sekolah asrama penuh, apakah ia masih relevan untuk murid sekolah rendah? Ada mendakwa UPSR hanya menjurus kepada konsep pencapaian pendidikan melalui peperiksaan yang memerlukan murid lulus subjek tertentu untuk layak ke sekolah berasrama penuh.Bagaimanapun, ini dikatakan tidak membantu menentukan tahap sebenar akademik murid.Ujian penilaian itu tidak menggalakkan murid mengambil berat untuk mendalami subjek lain seperti Sejarah dan Pendidikan Islam kerana subjek itu tidak menjadi syarat lulus dalam ujian berkenaan.

Beberapa tokoh akademik memberi pandangan berbeza terhadap isu dan cadangan pemansuhan UPSR dan PMR. Pandangan mereka telah dimuatkan dalam beberapa akhbar tempatan.

1. Berita Harian Tajuk: ‘Dua peperiksaan tidak lagi relevan’

1.1 Tokoh pendidik yang juga Pengerusi Panel Sekolah Kluster, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad ketika dihubungi Berita Harian, semalam, berkata: “Dulu peperiksaan dibuat bagi menentukan kelayakan pelajar untuk menyambung pengajian ke Tingkatan Satu dan Empat, tetapi kini ia tidak lagi berfungsi kerana semua pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga automatik layak meneruskan pengajian mereka.
1.2 Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad pula berpendapat, pemansuhan itu perlu kerana apa yang dilaksanakan ketika ini hanya membuat pelajar lebih berorientasikan peperiksaan semata-mata. “Pemansuhan kedua-dua peperiksaan berkenaan akan lebih memberikan fokus terhadap penilaian kemajuan berasas sekolah (PKBS) iaitu peperiksaan semester biasa.
“Ketiadaan peperiksaan awam lebih memudahkan sekolah memfokuskan kepada matlamat menjadikan sekolah mesra pelanggan dan membolehkan sekolah melihat lebih dekat kelemahan yang boleh diperbaiki dan menjadikan semua mata pelajaran adalah mata pelajaran penting dan tidak hanya menumpukan mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan saja,” katanya.

2. Kosmo Tajuk: Tunggu reaksi rakyat dahulu

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, cadangan pemansuhan UPSR dan PMR itu berniat positif ke arah perkembangan pendidikan negara.
“Kita akan kumpul pandangan guru-guru dan ibu bapa sebelum menentukan tindakan seterusnya,’’ katanya di sini semalam.

3. Utusan Malaysia Tajuk: Keputusan mansuh UPSR, PMR diketahui dalam masa terdekat

…Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, ini disebabkan kerajaan masih meninjau pandangan daripada pelbagai pihak termasuk orang ramai berhubung perkara tersebut.
“Pihak kami kini dalam proses untuk mengumpulkan pandangan daripada semua pihak sebelum menghantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengumumkan keputusan yang telah diambil.
“Apa yang pasti, ia akan diketahui dalam sedikit masa lagi, mungkin seminggu dua lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya. Yang penting pelajar-pelajar akan gembira belajar dan berkembang mengikut “fitrah” yang telah ditetapkan dengan mengambil kira perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosialnya secara seimbang.

No comments:

Post a Comment