Pesanan Imam Ghazali mengenai tanggungjawab guru, terutamanya yang mengajar ilmu agama.
• Jika ada pelajar buruk akhlak, harus ditangani dengan lemah-lembut dan sopan. Nasihati secara sindiran supaya tidak memalukan mereka. Kata Imam Ghazali, marah terus-terang akan menyebabkan pelajar hilang takut dan tambah memberontak.
• Jaga perhubungan dan silaturahim sesama guru, muliakan dan hormati sesama rakan guru.
• Jangan ragukan fikiran murid. Umpamanya dengan berkata, ‘Entah, saya pun tak tahu” apabila mereka bertanya. Oleh itu, perkara yang boleh menimbulkan keraguan, jangan diajar dahulu.
• Guru harus mengamalkan apa yang diajarnya pada murid. Allah berfirman, “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan, sedanglam kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah. Tidakkah kamu berakal?” (Surah al-Baqarah: 44)
• Jangan sekali-kali mengajar ilmu sesat kepada orang. Juga dilarang mengajar ilmu yang tidak memberikan manfaat.
• Jangan sombong dengan ilmu yang dimiliki. Rasulullah bersabda, “Janganlah engkau mempelajari ilmu pengetahuan untuk bersombong-sombong dengan orang yang sama-sama berilmu, bertengkar dengan orang yang berfikiran lemah dan untuk menarik perhatian orang ramai. Sesiapa yang berbuat demikian, maka dia dalam neraka.” (Riwayat Ibnu Majah dari Jabir).
• Jangan sembunyikan ilmu. Guru juga hendaklah memiliki ilmu yang lebih tinggi daripada pelajar. Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang menyembunyikan ilmu yang bermanfaat, nescaya dia dibangkitkan hari kiamat dengan mulut dikekang api neraka.” (Riwayat Ibnu Majah dari Abi Said).
• Ada ilmu agama yang dikecualikan daripada dipelajari secara perbahasan yang terperinci iaitu ilmu Tauhid yang menjadi akidah orang Islam. Ilmu yang ‘tinggi’ ini sebaik-baiknya jangan diajar dahulu kepada kanak-kanak atau orang yang baru belajar Islam.
• Ada rasa belas kasihan pada pelajar, anggap pelajar seperti anak sendiri.
• Mendidik dengan ikhlas, yang penting ganjaran Allah. Allah berfirman yang bermaksud, “Dan (ketahuilah) wahai kaumku, Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta sebagai menyampaikan ilmu agama itu. Tiadalah aku mengharapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata.” (Hud: 29).
• Ajar ilmu yang mudah dahulu. Hal ini diamalkan Rasulullah yang mengajar secara berperingkat-peringkat mengikut kemampuan pelajarnya. Baginda bersabda yang bermaksud, “Kami para nabi diperintah menempatkan tiap-tiap orang pada tempat mereka masing-masing dan bercakap dengan mereka menurut tingkat pemikirannya.” (Riwayat Abu Bakar as-Shukhair dan Abu Daud dari Aisyah).
No comments:
Post a Comment