Wednesday, December 9, 2009

CIRI-CIRI KEPIMPINAN MUSLIM

1. BERIMAN DAN ADIL

Keimanan yang mantap akan menjelmakan peribadi yang luhur dan pastinya dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Pemimpin yang beriman akan menghalakan orang-orang di bawah tanggungjawab ke arah matlamat yang benar. Keadilan pula, akan menjamin setiap hak individu terpelihara.

2. MENGENALI DAKWAH

Ciri ini sangat penting kerana pemimpin sebenarnya adalah seorang daie yang bertanggungjawab untuk menyeru ummat ke arah penghayatan Islam yang sebenar dan menyeluruh. Apabila seorang pemimpin dapat menampilkan imejnya sebagai daie dan murabbi yang baik, peranannya akan menjadi lebih berkesan dan matlamatnya untuk melahirkan generasi yang menjadikan Islam sebagai landasan hidup akan lebih mudah tercapai. Oleh itu,aktiviti perorganisasian dan gerakan dakwah perlu diselaraskan dan sebatikan dalam kepimpinannya.

3. MENGENALI JIWA

Di antara kewajipan pemimpin ialah mengetahui sudut kekuatan dan kelemahan yang ada pada dirinya. Pemimpin yang tidak tahu potensi-potensi dan keupayaan tidak akan dapat menjadi pemimpin yang berjaya. Malah barangkali akan menyebabkan berlakunya pelbagai kemudharatan dan malapetaka terhadap dakwah dan kepimpinannya. Oleh itu seorang pemimpin mestilah :

a) Mengetahui titik kelemahan yang ada pada dirinya lalu memperbaikinya.
b) Mencari sudut kekuatan yang ada pada dirinya serta berusaha meningkat dan memajukannya lagi.
c) Berusaha bersungguh-sungguh untuk memperkayakan pengetahuan umum dan banyak mempelajari pelbagai topik, pendapat dan fikiran di dalam lapangan politik, sosial, ekonomi dan lain-lain.
d) Memberi perhatian dengan mengkaji peribadi pemimpin Islam dan bukan Islam serta mengetahui cara kepimpinan mereka, sebab-sebab dan faktor kejayaan atau kegagalan mereka.

4. PERHATIAN KEPADA ORANG BAWAHAN

Perhatian yang diberikan kepada pengikutnya adalah dengan mengenali mereka sekadar yang perlu, mengambil tahu hal ehwal mereka, ikut serta bersama-sama merasai riang dan duka dan bersungguh-sungguh mencari penyelesaian bagi masalah mereka. Semua ini dapat membantu pemimpin itu untuk mengawal serta membina thiqah orang bawahan terhadap dirinya seterusnya dapat mengambil faedah daripada suasana tersebut.

Pemimpin yang bersifat dingin terhadap orang bawahannya menyebabkan hubungan antara kedua-dua belah pihak tidak begitu intim. Anak buah yang berasa dipinggirkan mungkin akan mengambil sikap tak kisah sahaja kepada pemimpin mereka. Akibatnya sesuatu perencanaan yang telah disusun tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama antara kedua-dua belah pihak. Walau bagaimanapun, seorang pemimpin janganlah keterlaluan dalam sikapnya untk mengambil perhatian orang bawahannya kerana ini juga membuatkan mereka berasa dikongkong dan tidak bebas

Sumber: Lajnah Tarbiah dan Akademik PERMAYA

No comments:

Post a Comment