Sunday, October 11, 2009

SEJARAH SEKOLAH



SEJARAH SEKOLAH

Sejarah awal penubuhan sekolah ini bermula pada tahun 1955, Penubuhan sekolah berpendidikan Inggeris adalah cadangan Pejabat Daerah Sik. Tujuan utama sekolah Inggeris ini dibina untuk memnuhi keperluan pendidikan di Daerah Sik, khususnya pelajaran Bahasa Inggeris dikalangan anak tempatan. Sebagai permulaannya sekolah Inggeris ini menumpang bangunan bersebelahan Pejabat Pos berhampiran Pejabat Daerah (Pejabat Pos Lama). Sekolah Inggeris pertama ini telah dibuka pada 02. Oktober 1955. Ketika itu Tuan Syed Abu Bakar b Syed Akil Shahabudin adalah Guru Besar di sekolah ini dan dilantik, sebagai guru Bahasa Inggeris, beliaulah satu-satunya tenaga pengajar di sekolah ini. Jumlah pelajar ketika itu lebih kurang 40 orang. Sekolah ini merupakan Sekolah Inggeris pertama di Negeri Kedah yang dikecualikan yuran. Setahun kemudian sekolah ini mendapat seorang lagi guru iaitu guru agama.

Dalam tahun 1958, pihak kerajaan telah bersetuju untuk membina sebuah sekolah yang baru di Kampung Dusun Sik berikutan dengan penambahan bilangan pelajar. Keluasan tanah yang dipersetujui ialah seluas 4.42645 hektar atau 10 ekar. Tapak sekolah ini merupakan tanah simpanan kerajaan yang telah diterokai oleh Alllahyarham Tuan Haji Ishak bin Ali pada tahun 1957. Bangunan sekolah telah siap dibina pada tahun 1959 dan dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhun Sultan Badlishah pada 04. Mac 1959 bersamaan dengan 24 Rabiulawal 1378 Hijrah. Bangunan sekolah ini berukuran 112.5m x 15 m, mengandungi 6 bilik darjah dan sebuah bilik setor, manakala bilik setor telah diubah menjadi bilik Guru Besar.

Walaupun sekolah ini memperolehi bangunan baru pertambahan murid-muridnya kurang mengglakan. Fenomena ini berlaku kerana persaingan dari sekolah yang berhampiran, tambhan pula sekolah aliran Inggeris pada masa itu mendapat tentangan masyarakat. Walaubagaimanapun kemasukan murid-murid cina dan bangsa yang tinggal dipersekitaran Pekan Sik telah meningkatkan bilangan murid sekolah ini dari tahun ke tahun. Dalam tahun 1966 hingga 1972, sekolah ini mempunyai dua liran iaitu aliran Melayu dan Aliran Inggeris dan pada tahun 1974 sekolah ini ditukarkan kepada satu aliran sahaja iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa spengantar. Nama sekolah juga telah ditukar dari Sekolah Inggeris Sik kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Sik, kampong Dusun, Sik Kedah. Dalam Tahun 1975 sebuah Kantin telah dibina dan telah siap sepenuhnya pada tahun 1976 dengan belanja sebanyak RM 6000.00.

Pada tahun 1980an bilangan pelajar telah bertambah hingga menyebabkan kesesakan dalam bilik-bilik darjah. Bagi mengatasi masalah ini pihak pentadbir sekolah telah mengadakan dua sessi persekolah iaitu sessi pagi dan sessi petang. Disamping itu bangunan asalnya juga telah kelihatan uzur. Oleh itu usaha untuk mendapatkan bangunan baru telah dikemukakan kepada Jabatan pendidikan. Sehubungan dengan itu, projek pembinaan bangunan gentian telah diluluskan oleh pihak kementerian Pendidikan melalui suratnya (KP 1580/B/360/C44) bertarikh 14 Februari 1984. Kos pembinaan berjumlah RM 421,000. Bangunan baru ini mula digunakan pada pertengahan tahun 1985.

Pada 1 Januari 1998 nama Sekolah Rendah Kebangsaan Sik Kampung Dusun Sik telah ditukarkan kepada Sekolah Kebangsaan Seri Dusun. Pertukaran nama adalah kehendak daripada Kementerian Pendidikan Malaysia yang mahukan semua sekolah bekas aliran inggeris ditukar menjadi sekolah kebangsaan. Mei 2000 sekolah ini menerima seorang Guru Besar baru iaitu Tn.Hj.Abd.Manap bin Hj.Abd.Majid yang melakar pelbagai kejayaan kepada SK Seri Dusun. Sejurus dengan keperluan pendidikan semasa sebuah bangunan baru telah dibina dan boleh digunakan pada Februari. Hasil usaha dan gabungan tenaga yang mantap di antara pengurus sekolah, guru dan staf sokongan SK Seri Dusun bersama kepakaran pengurusan yang dimilikki oleh Tn.Hj.Abd.Manap, pada tahun 2004 Sekolah kebangsaan Seri Dusun telah dianugerahkan Johan Sekolah Harapan Negara Kategori Luar Bandar Peringkat Kebangsaan, Johan Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran 2005 Peringkat Kebangsaan dan Anugerah Sekolah Cemerlang 2007 Peringkat Kebangsaan.
Kesinambungan daripada kemudahan yang telah disediakan diharap agar guru-guru, kakitangan serta pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Dusun beroleh kejayaan lebih cemerlang dari masa lalu dan meyambung kecemerlangan yang telah dibina.

1 comment:

  1. sebagai waris ramai dari bekas pelajar sksd ini, saya mengucapkan terimakasih yang tak terhingga kepada semua para guru dan tak lupa juga pada GB, yang telah banyak mencurahkan ilmu kepada anak2 saya dan juga diri saya. Banyak ilmu yang saya dapat sepanjang melibatkan diri dengan SKSD ini. Motivasi waris, dan kata aluan dari GB sendiri, telah banyak memberi manafaat kepada kami, waris yang sebenarnya tak tau apa2 ni. Trima kasih.

    ReplyDelete