Thursday, April 1, 2010

PIBG PERLU RUJUK IBU BAPA

PIBU perlu rujuk ibu bapa

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu mengadakan konsultasi dengan ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan dalam mesyuarat bagi mengelakkan perkara berbangkit, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Yang penting bagaimana kepemimpinan PIBG di sekolah menjadi lebih inklusif, yang lain-lain boleh dijemput berbincang mungkin secara informal supaya sebelum mesyuarat dan buat keputusan, ia sudah dapat gambaran bahawa ibu bapa setuju dengan apa yang hendak diputuskan.

“Kalau ada perbincangan sebegitu kuranglah masalah timbul seperti yuran dan bayaran yang dikenakan terhadap mereka,” katanya pada sidang media selepas menutup Konvensyen PIBG Kebangsaan 2010 di Institut Aminuddin Baki di sini, semalam.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberikan contoh bahawa PIBG boleh menghantar surat kepada ibu bapa untuk mendapatkan pandangan seperti berkaitan sumbangan dan penganjuran aktiviti.


Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata PIBG berperanan dalam memberikan sumbangan besar dalam sistem pendidikan negara kerana pencapaian dan kejayaan anak-anak di sekolah turut bergantung kepada ibu bapa.


Katanya, PIBG ditubuhkan atas peruntukan undang-undang dan bukannya sekadar satu inisiatif atau kehendak ibu bapa
“Soal pendidikan penting dan perlu diberikan perhatian utama bukan sahaja oleh pimpinan negara tetapi ibu bapa, pencapaian anak-anak kita di sekolah ada hubung kait dengan peranan yang disumbangkan oleh PIBG di seluruh negara,” katanya.


Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sendiri memberi penekanan dan perhatian yang penting dalam soal pendidikan dan pelajaran serta pembangunan modal insan. - Bernama

2010/03/29 HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment