Tuesday, November 3, 2009

PERHIMPUNAN MINGGUAN PELAJAR YANG BERKESAN

PERHIMPUNAN MINGGUAN PELAJAR YANG BERKESAN

PENDAHULUAN

Perhimpunan mingguan sekolah merupakan agenda pendidikan yang wajib dilaksanakan
oleh semua pemimpin sekolah .Kewajiban menjadikan perhimpunan sekolah sebagai agenda mingguan yang perlu dimasukkan ke dalam jadual waktu persekolahan telah menjadikan ianya perlu diurus secara professional.Setiap orang pemimpin sekolah seharusnya sedar tentang tugas dan bidang kerja yang mereka perlu sempurnakan secara sistematik.

Menurut Gribben : “ Kepimpinan adalah satu proses mempengaruhi ke atas satu kumpulan dalam satu situasi dan masa yang khusus yang dapat merangsang mereka untuk secara rela hati bagi mencapai matlamat bersama”.

Berdasarkan takrif kepimpinan di atas setiap pemimpin sekolah hendaklah berusaha merangsang,mempelbagaikan aktiviti dan kaedah bagi menjadikan perhimpunan mingguan sebagai agenda pendidikan yang menarik dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan.

Pengurusan yang baik dan berkesan akan menentukan proses budaya cemerlang.Perhimpunan mingguan hendaklah berfokus ke arah menyemai,menanam dan memupuk perasaan cintakan negara di kalangan pelajar-pelajar.Sesuatu perhimpunan rasmi adalah menggambarkan sesuatu yang berdisiplin dengan ertikata setiap orang dalam pehimpnan itu harus menghormati dan mematuhi nilai,norma dan peraturan perhimpunan.Semestinyalah perhimpunan mingguan sekolah hendaklah diurus dengan sistematik.

1.ISU DAN CABARAN
Sesetengah pemimpin sekolah menghadapi masalah dalam megendalikan perhimpunan mingguan sekolah kerana kekaburan prosedur dan pembudayaan yang perlu dilaksanakan.Aspek pembudayaan sekolah yang boleh diterapkan menerusi perhimpunan mingguan ialah;
1.Tradisi yang diamalkan
2.Interaksi pelajar dan guru
3.Cara pengurusan yang praktikal
4.Sikap dan kepercayaan diamalkan
Budaya pelajar hendaklah diperjelaskan dan diatur dengan sebaiknya.Menurut Dr.Ibrahim Ahmad Bajunid (1999) ;
“ Ada beberapa metafora berkaitan sekolah.Antaranya ialah sekolah sebagai penjara,hospital,sekolah sebagai “factory” dan sekolah sebagai tempat ibadat.Metafora saya adalah sekolah sebagai tempat ibadat”.

Sehubungan dengan itu agenda perhimpunan mingguan hendaklah menjurus kepada pembentukan perhimpunan mingguan yang berbudaya,berperaturan,beradap,bersih dan bersistematik.

Persoalan yang perlu dicetuskan ialah mengapa perhimpunan mingguan menjadi agenda yang tidak teratur.Beberapa aspek pengurusan perhimpunan mingguan yang selalu diabaikan ialah;
1.Penglibatan semua guru semasa perhimpunan mingguan dilaksanakan tidak menyeluruh
2.Situasi pelajar tidak begitu terkawal
3.Tiada agenda utama untuk pengisian perhimpunan tersebut
4.Perjalanan dan pengurusan perhimpunan secara tradisi
5.Perhimpunan dijadikan medan guru melepaskan emosi


Pekeliling dan peraturan mengendalikan perhimpunan mingguan telah jelas diberikan tetapi realitinya ada sesetengah pemimpin sekolah masih lagi gagal mengendalikan perhimpunan mingguan dengan sempurna.Ada sesetengah sekolah mengendalikan perhimpuan mingguan seperti “melepas batok di tangga” sahaja di mana penglibatan guru begitu minimum dan pengisinannya langsung tidak terurus.
Realiti yang paling menyedihkan apabila waktu perhimpunan tersebut digunakan oleh sebahagian guru untuk mengambil sarapan di kantin atau berbual-bual kosong di bilik guru.Walaubagaimanapun ada sesetengah pentadbir sekolah yang mewajibkan semua guru terlibat di majlis perhimpunan mingguan tetapi keterlibatan guru dan pengisian majlis masih mengecewakan.Fenomena berikut sering berlaku berlaku ketika perhimpunan mingguan dijalankan.
1.Sistem pembesar suara tidak berfungsi dengan sempurna
2.Hanya seorang guru sahaja terlibat menguruskan perhimpunan tersebut
3.Guru berbual-bual ketika majlis sedang berjalan
4.Murid-murid tidak memberi tumpuan,tidak teratur dan kurang berdisiplin
5.Perkara dan maklumat yang disampaikan berulang-ulang
6.Menggunakan masa yang sangat panjang dan tidak terancang
7.Pakaian guru tidak mencerminkan imej organisasi
8.Agenda dan aturcara majlis tidak dipatuhi

2.FAKTOR –FAKTOR PERHIMPUNAN KURANG MENARIK

1. Kelemahan Pemimpin Sekolah
Situasi kegagalan pemimpin sekolah menjana perhimpunan mingguan yang efektif dan menarik banyak dipengaruhi oleh stail pengurusan dan kemahiran menggunakan kuasa kepimpinan oleh pemimpin sekolah tersebut.Sehubungan dengan itu pemimpin sekolah mesti mengetahui dengan jelas peranannya di sekolah iaitu;
1.Sebagai perancang
2.Sebagai pengurus
3.Sebagai penggerak perubahan
4.Sebagai pendidik
5.Sebagai jurulatih
6.Sebagai pembimbing dan penasihat
7.Sebagai pendorong

Sehubungan dengan itu pemimpin sekolah besama guru-guru penolong kanan hendaklah merancang,menyediakan takwim dan mengurus perhimpunan mingguan dengan sempurna.Pelaksanaan keberkesanan perhimpunan mingguan hendaklah berjalan dengan sistematik dan menggunakan kuasa kepimpinan sangatlah diperlukan.Kuasa kepimpinan yang perlu diaplikasikan ialah;
1.Kuasa Sah
2.Kuasa Paksaan
3.Kuasa Ganjaran
4.Kuasa Pakar
5.Kuasa Rujukan

2. Pengurusan Tidak Berkualiti
Perhimpunan mingguan pada dasarnya adalah majlis rasmi yang mesti dijalankan dengan penglibatan semua guru dan murid tetapi hakikatnya kerap tersasar daripada matlamat sebenar.Keadaan ini berlaku kerana keseluruhan warga sekolah terutama guru-guru dan murid gagal memahami perkara-perkara berikut:
1.Dasar dan prosedur perhimpunan mingguan
2.Standard kualiti yang perlu dipatuhi
3.Maklumat pengendalian majlis
4.Audit kepatuhan organisasi
5.Matlamat perhimpunan mingguan
6.Langkah-langkah penambahbaikan

Menurut Dr.Mohd.Fazilah Kamsah(1996)
“Cara gaya bertindak yang bawa kejayaan hari ini mungkin menjadi penghalang kepada kejayaan hari esok.Justeru kita perlu bersedia untuk berubah”

Perhimpunan mingguan sekolah akan menjadi lebih menarik dan mendatangkan kesan yang positif sekiranya pemimpin sekolah mahu berubah dan guru-guru juga berganding bahu merancakkan arus perubahan yang sentiasa mengikut keperluan semasa.

3.PROSEDUR DAN ARAHAN
Prosedur dan arahan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia telah dikeluarkan untuk memperjelaskan pengurusan perhimpunan mingguan sekolah supaya lebih berobjektif dan efektif.Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan beberapa surat pekeliling untuk panduan pengurus sekolah bagi mengendalikan perhimpunan mingguan.
1. Surat Pekeliling Am Bil.23/1966
2. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.4/1975
3. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/75
4. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.4/1984
Pekeliling tersebut menjelaskan perhimpunan mingguan sekolah adalah majlis rasmi yang bertujuan untuk menyemai,menanam dan memupuk semangat cinta dan taat setia kepada negara serta meningkatkan lagi disiplin dan sifat-sifat keteladanan di kalangan murid-murid.Sehubungan dengan itu perhimpunan sekolah hendaklah dijalankan dalam suasana teratur,tertib serata mematuhi nilai-nilai dan norma organisasi.
Pekeliling tersebut juga menyarankan agenda yang patut dipatuhi ketika menjalankan perhimpunan mingguan sekolah:
1.Nyanyian Lagu Kebangsaan / Lagu Kebangsaan Negeri / Lagu Sekolah
2.Upacara menaikkan bendera
3.Upacara membaca ikrar Rukunegara
4.Ucapan Guru Besar
5.Lain-lain perkara yang difikirkan perlu bagi mencapai tujuan perhimpunan

Bendera dan lagu kebangsaan adalah lambang kebesaran sesebuah negara.Ia juga membayangkan identiti negara tersebut.Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat,Malaysia mempunyai bendera dan lagu kebangsaan sendiri.Di samping itu setiap buah negeri di dalamnya mempunyai bendera dan lagu kebangsaan negeri masing-masing.Penghormatan kepada bendera dan lagu kebangsaan adalah merupakan satu cara penting dalam memupuk semangat taat setia, bangga dan cintakan tanahair di kalangan rakyat terutamanya genarasi baru bergelar pelajar.
Semua guru dan murid dikehendaki berdiri tegak dan menyanyikan lagu kebangsaan apabila bendera dinaikkan.Prosedur berikut perlu diikuti bagi memastikan ia dilaksanakan dengan penuh penghayatan.
1.Dinyanyikan dengan penuh semangat dalam satu suara dan tidak boleh dinyanyikan dengan gaya padu suara
2.Sebutan senikata lagu tersebut hendaklah betul dan jelas
3.Apabila lagu-lagu dinyanyikan ,di mana sahaja murid-murid berada,mereka hendaklah juga berdiri tegak.Berdiri tegak merupakan satu tanda penghormatan daripada seseorang rakyat terhadap lambang-lambang negeri dan negaranya.

Upacara menaikkan bendera hendaklah diadakan dalam tatacara perhimpunan sekolah.Susunan acara bagi upacara itu berserta dengan menyanyikan lagu kebangsaan.Tata cara berikut perlu diikuti dengan sebaiknya.
1.Bendera negeri hendaklah dikibarkan dahulu
2.Bendera Persekutuan (Jalur Gemilang) dinaikkan perlahan-lahan sambil perhimpunan menyanyikan Lagu Kebangsaan.Apabila tamat lagu tersebut bendera pun sampai ke puncak tiang bendera.

Selepas Lagu Kebangsaan dinyanyikan penyampaian berita mengenai kegiatan sekolah bolah dibuat dengan mengambil kira kesemua pelajar boleh mendengar makumat yang disampaikan.Sekiranya jumlah pelajar ramai maka pembesar suara yang baik dan bermutu perlu digunakan.Berita dan maklumat tersebut boleh disampaikan oleh guru atau murid.
Sekiranya ada hadiah yang disampaikan maka perhimpunan sekolah adalah tempat terbaik untuk menyampaikannya.Murid-murid akan dapat memahami aktiviti-aktiviti sekolah dan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh sekolah dan murid-murid lain.Penghargaan ini adalah merupakan salah satu cara bagi menyemai dan menanamkan semangat kasih sayang dan banggakan sekolah.Penghargaan yang diberikan di perhimpunan sekolah akan menjadi pendorong kepada murid-murid untuk lebih berusaha dan berdedikasi bagi mencapai kejayaan.Yang penting murid-murid akan berasa seronok dan dihargai apabila setiap kejayaan mereka mendapat pengiktirafan.

Masa untuk mengadakan perhimpunan adalah bergantung kepada kemudahan sekolah tetapi ia tetap menjadi agenda wajib yang perlu diadakan pada setiap minggu.Bagi sekolah dua sesi perhimpunan yan menggabungkan keduanya sekali sangat digalakkan

Pekeliling tersebut juga menegaskan lagi,bagi memastikan perhimpunan mingguan mencapai objektifnya perkara-perkara berikut perlu diberi keutamaan;

1.Semua guru dan murid hendak terlibat bersama dalam menjayakan perhimpunan tersebut.
2.Penglibatan kakitangan bukan guru juga digalakkan
3.Perkara-perkara yang boleh meninggikan moral,disiplin dan perpaduan,menaikkan semangat kerajinan dan tingkahlaku positif bolehlah disampaikan.
4.Perhimpunan mingguan tidak digunakan sebagai tempat menyemai budaya negatif,perilaku tidak sopan dan tidak bermoral.


.
4.STRATEGI MENJADIKAN PERHIMPUNAN MINGGUAN MENARIK

Perhimpunan yang menarik berkait rapat dengan kepimpinan sekolah yang mengambil berat dan kreatif menjayakannya.Fred Hechinger,Presiden New York Times pernah menulis tentang kejayaan dan kejatuhan sekolah ;
“Saya belum pernah melihat sekolah yang maju ditadbir oleh pengetua yang lemah,atau sekolah yang mundur ditadbir oleh pengetua yang cekap.saya penah melihat sekolah-sekolah yang mundur berjaya dimajukan, dan menyedihkan,ada sekolah-sekolah yang maju merosot dengan mendadak.Dalam setiap kes jatuh bangun sesebuah sekolah adalah kualiti pengetuanya” (Dalam Davis&Thomas 1989:17)
Pengurus sekolah semestinya menjadi tenaga penggerak utama dan cakna kepada setiap proses menjayakan perhimpunan mingguan pelajar.Sifat-sifat berikut hendaklah dimiliki oleh pemimpin sekolah dan seterusnya diserapkan kepada jiwa murid-murid.Sifat-sifat terpuji itu ialah:
? Jujur
? Kompeten
? Berwawasan
? Memberi inspirasi
? Berani
? Pintar
? Adil
? Berfikiran terbuka
? Berterus terang
? Berfikiran tajam
? Matang
? Perihatin
? Bekerjasama
? Bercita-cita tinggi
? Boleh dipercayai
? Taat

Untuk menyemai sifat-sifat terpuji itu perhimpunan mingguan hendaklah diurus dengan kreatif dan berfokus.Pengetua/Guru Besar hendaklah menjadi penggerak supaya ucapannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh setiap murid dan guru-guru.Ucapan yang berkesan dan menarik dari Guru Besar/Pengetua hendaklah mengikuti langkah-langkah berikut:

1.Gunakan alat pembesar suara yang berkualiti
2.Suara Guru Besar/Pengetua hendaklah jelas dan menarik
3.Persediaan awal hendaklah dilakukan sebelum majlis bermula
4.Elakkan daripada memperkatakan perkara yang sama pada setiap mingu
5.Elakkan daripada menggunakan bahasa yang kasar
6.Mimik muka Guru Besar/Pengetua hendaklah menggambarkan kemesraan

Ucapan Guru Besar/Pengetua hendaklah memfokuskan kepada budaya dinamik,proaktif dan penyayang.Tajuk ucapan yang dapat menarik minat pelajar ialah;
? Sifat-sifat terpuji
? Akhlak seorang pelajar
? Tolong menolong
? Membina cita-cita
? Budaya ICT
? Motivasi diri
? Hobi yang menarik
? Cita-cta.
? Tolak ansur
? Hormat menghormati

Perhimpuan mingguan hendaklah dijadikan sebagai medan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada kejayaan murid- murid .Potensi yang ada pada murid hendaklah digilap melalui melalui penghargaan yang diberikan kerana kejayaan mereka.Kategori kejayaan yang boleh diberikan semasa majlis perhimpunan mingguan ialah:
? Kejayaan di dalam bidang kurikulum samaada mewakili kelab atau rumah
? Kejayaan dalam bidang kurikulum iaitu prestasi cemerlang di dalam Peperiksaan Kendalian Sekolah
? Kejayaan dalam bidang kepimpinan
? Kejayaan kerana akhlak terpuji
? Kejayaan kerana ketokohan murid
Hadiah dan sijil penghargaan hendaklah disampaikan oleh Guru Besar dan nama pelajar yang berjaya akan dicatatkan pada papan carta mingguan sekolah..
Pengendalan majlis perhimpunan juga hendaklah menarik dan memenuhi kehendak organisasi serta selaras dengan penerimaan pelajar.Aspek-aspek berikut hendaklah diberi keutamaan:
? Pelajar selesa mendengar ucapan
? Bahasa yang disampaikan ringkas dan mudah difahami
? Laras bahasa lembut dan menarik
? Majlis dipengerusikan oleh pelajar
? Majlis berjalan mengikut perancangan waktu ditetapkan

Hadiah dan ceneramata yang diberikan hendaklah menarik minat pelajar.Cenderamata yang paling diminati pelajar ialah:
? Buku cerita
? Permainan akademik
? Alat tulis
? Piala
? Wang tunai

Perhimpunan mingguan hendaklah dijadikan medan untuk memotivasikan pelajar.Setiap aktiviti yang dimasukkan ke dalam majlis tersebut hendaklah memfokuskan kepada peningkatan jati diri murid.Untuk menjadikan perhimpunan mingguan lebih menarik hubungan yang harmoni mesti dicetuskan melalui implementasinya.Untuk mewujudkan situasi harmoni maka sebarang konflik hendaklah dielakkan.Konflik boleh berlaku antara murid dan guru,antara guru dan guru serta antara pentadbir dan guru.Konflik berlaku apabila terjadi situasi berikut:
? Menggunakan kata-kata yang kasar
? Menjatuhkan maruah murid
? Menggunakan nada suara yang tinggi
? Menyindir pihak-pihak tertentu
? Membuat justifikasi yang salah
? Mementinkan peribadi melebihi organisasi
? Menghukum pelajar di khalayak ramai

Sehubungan dengan itu perhimpunan mingguan juga mesti berpusatkan pelajar (pupil centered) dan wujud hubungan dua hala yang baik di antara guru dan murid.

Perhimpunan mingguan juga hendaklah dijadikan sebagai medan memupuk semangat kekitaan,rasa selamat dan menyeronokkan.Hubungan mesra hendaklah ditunjukkan antara guru dengan guru,guru dan murid serta murid dengan murid.Oleh itu elakkan daripada membeza-bezakan antara murid yang pandai dengan murid yang kurang pandai di tempat perhimpunan.Perkara-perkara berikut baik diamalkan bagi memupuk semangat kekitaan dan menyeronokkan pada perhimpunan mingguan pelajar.
? Pelajar diberi peluang menyampaikan bakat mereka yang boleh dijadikan contoh oleh pelajar-pelajar lain contohnya membaca sajak,menyampaikan berita terkini,bercerita,membaca keratan akhbar dan lain-lain
? Pelajar-pelajar diberi tanggung jawab untuk mengelolakan majlis seperti mengatur kerusi,mengatur kedudukan pelajar,menjemput guru dan mempengerusikan majlis.
? Perasaan kekitaan dan kepunyaan bersama hendaklah diwujudkan.Murid-murid merasakan diri mereka diterima dan mempunyai sumbangan di dalam majlis tersebut.Murid-murid akan memberi tumpuan dan memberi komitmen untuk menjayakan perhimpunan tersebut.
? Hubungan yang rapat dan saling menghargai akan dapat disemai di kalangan pelajar dan guru apabila majlis memperingati peristiwa penting diselitkan di dalam perhimpunan mingguan tersebut.Contoh peristiwa penting ialah :
? Sambutan harijadi
? Sambutan ulang tahun perkahwinan
? Sambutan hari kelahiran anak guru
? Sambutan kejayaan luar biasa pelajar

5. RUMUSAN
Perhimpunan mingguan telah menjadi satu dasar yang diwajibkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia semenjak tahun 1966 lagi tetapi ianya masih mendatangkan masalah kepada sesetengah pemimpin sekolah untuk menjadikannya sebagai majlis yang efektif dan berkualiti.Fenomena ini berlaku kerana tiada kesungguhan di kalangan sesetengah pemimpin sekolah bersama guru-gurunya dalam merealisasikan perhimpunan mingguan yang berkualiti.Sehubungan dengan itu aspek-aspek berikut perlu diberi tumpuan oleh pemimpin sekolah dan guru-guru.
1.Kemahiran dan pengurusan berkualiti
2.Kemahiran pengurusan masa
3.Akautabiliti dalam organisasi
4.Pemantauan dan penilaian (audit kepatuhan organisasi)
5.Kepekaan pengurusan bersistematik yang menekankan input,proses dan output.Ishikawa teknik(man,machine,method,material,environment) dan PDCA (Plan,Do,Check,Act) boleh diaplikasikan.



REFLEKSI

Pepatah melayu ada mengatakan “Kalau tidak dipecahkan ruyung mana hendak dapat sagunya”.Keterlanjuran dalam mengurus perhimpunan mingguan secara sambil lewa semestinya diambil iktibar oleh semua pemimpin sekolah.Murid-murid akan menjadikan imej guru,gaya berpakaian guru,tingkahlaku guru dan segalanya yang mereka lihat daripada guru sebagai suri teladan (role model) yang paling pantas untuk mereka contohi.Sekiranya pengurusan dan pelaksanaan perhimpunan mingguan berjalan dengan baik maka sudah tentu iklim dan budaya sekolah akan lebih teratur dan kondusif.
Budaya kondusif dan harmoni tidak mungkin datang sendiri.Proses merancang,melaksana dan menilai semula perlu dilakukan dengan sistematik.Budaya menjadikan sekolah sebagai tempat “joy of learning” dan “joy of teaching” bukan sekadar di dalam bilik darjah sahaja tetapi merangkumi keseluruhan empat penjuru pagar sekolah atau dalam erti kata lain meliputi keseluruhan tempat,budaya dan suasana di sekolah.
Vaughan (1996) telah memberi pandangan;
“Teachers must also have the support of other educators,families and communities to help create rigorous,relevant and safe learning environments for both students and teachers.A well supported teacher workhorse of excellence that is also reflective of and responsive to the diversity of students is imperative”

Perhimpunan mingguan akan lebih menarik dan banyak membantu pembentukan iklim,budaya dan disiplin yang sihat sekiranya perkara-perkara berikut diberi keutamaan dan dilaksanakan dengan lebih praktikal.
1.Sediakan takwim perhimpuan mingguan yang sistematik dan strategik
2.Kefahaman dan kepatuhan ahli organisasi mesti ke tahap optima
3.Pemimpin sekolah mesti terlibat secara terus dan bersama guru
4.Manual prosedur perhimpunan jelas dan mudah difahami
5.Murid mesti diberi peluang bersama guru mengendalikan majlis
6.Perhimpunan mingguan hendaklah didokumentasikan sebagai dokumen rasmi aktiviti sekolah.
Sebaik dan secantik manapun perancangan tidak akan berjaya sekiranya setiap ahli organisasi tidak mahu berubah.Kesungguhan dalam menerima dan melakukan perubahan akan banyak membawa kejayaan kepada individu dan organisasi.

“ Progress is impossible without changes,and those who cannot change their minds
cannot change anything”
George Bernard Shaw

RUJUKAN

Mohd.Fazilah Kamsah (1996). Prinsip dan Teknik Pengurusan Cemerlang.
Excel Training ang Consultancy,Malaysia.

Hussein Mahmud (1993).Kepimpinan dan keberkesanan sekolah.Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Dr.Ibrahim Ahmad Bajunid(1999).Kata Iktibar Pemimpinan Pendidikan.Institut
Aminuddin Baki,Genting Highlands.

Kementerian Pelajaran Malaysia(2002).Surat Pekeliling Ikhtisas Jilid 1 dan 2

Kementerian Pelajaran Malaysia(1988)Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru
Bahasa dan Pustaka

Hussein Mahmood(1993)Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah.Dewan Bahasa
Dan Pustaka

Nurdinkayat(2005)Jejak Cemerlang Destani Gemilang Ke arah Pendidikan
Terbilang.NY Darul Hani.

Kementerian Pelajaran Malaysia(2004)Jurnal Pengurusan Kepimpinan Pendidikan.

3 comments:

  1. Tahniah, terima kasih dan pujian atas nukilan tuan.
    Teruskan kecemerlangan tuan.

    ReplyDelete
  2. Masih ada kemahiran buat assignment.Ilmupun tak hilang.Tahniah kepada rakan seperguruan.

    ReplyDelete
  3. thank for the sharing..... sharing is caring... hahaha =)

    ReplyDelete